Pengurusan Pembahagian Harta Pusaka Islam

Maklumat mengenai jenis harta, nilaian harta, prosedur permohonan Pusaka Kecil, senarai semak permohonan Pusaka Kecil, prosedur permohonan Probate & Pentadbiran (Harta Pusaka Besar) dan prosedur permohonan Pusaka Ringkas.

Kategori Harta dan Bidang Kuasa

Maklumat berkaitan jenis-jenis harta, definisi harta alih & harta tak alih. Termasuk agensi yang menguruskan harta pusaka berdasarkan nilaian harta keseluruhan.

Jenis Harta Alih & Tak Alih

Tanah, Kepentingan atas harta, Hak atau Faedah yang  akan didapati daripada Tanah –  Seksyen 66, Akta Keterangan 1967.

Definasi Harta Alih

Wang Tunai, Saham, Simpanan Bank, KWSP, Insurans, Kenderaan , Senjata Api, Barang Kemas dan Barang -Barang Berharga.

Definasi Tak Harta Alih

Catatan: tidak termasuk semua jenis lesen (Contoh: Permit Teksi, Permit Lori, Lesen Perniagaan tidak boleh diwarisi)

Bidangkuasa Agensi Dalam Pengurusan Harta Pusaka di Malaysia

Mahkamah Tinggi:

  • Tidak tertakluk kepada apa jua jenis harta;
  • Nilaian keseluruhan harta simati hendaklah melebihi RM 2juta; 
  • Harta yang berwasiat (Akta Wasiat 1959) (untuk Bukan Islam).

Bahagian Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG):

  • Keseluruhan harta simati (harta tak alih iaitu semua tanah/rumah) ATAU sebahagiannya (harta tak alih iaitu tanah/rumah) bersama harta alih (kenderaan/wang simpanan/saham) dan sebagainya. 
  • Nilaian keseluruhan harta di bawah RM 5 juta.

Amanah Raya Berhad (ARB):

  • Harta simati hanya terdiri daripada Harta Alih sahaja. 
  • Nilaian keseluruhan harta di bawah RM 600 ribu

Pengurusan Pembahagian Harta Pusaka

Maklumat mengenai Pengurusan Pembahagian Harta Pusaka yang mengandungi info berkaitan prosedur permohonan Harta Pusaka Kecil bersama senarai semak permohonan baharu, prosedur permohonan Probate & Pentadbiran (Harta Pusaka Besar) dan permohonan Harta Pusaka Ringkas mengikut nilaian harta keseluruhan tersebut.

Prosedur Permohonan Pusaka Kecil

Harta Pusaka Kecil adalah harta peninggalan simati yang terdiri daripada harta tak alih (tanah/rumah) samada sebahagian atau keseluruhan dengan nilaian di bawah RM 5 juta. 

Pengurusan Harta Pusaka Kecil adalah tertakluk di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98].

Permohonan hendaklah dibuat di Unit Pembahagian Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG)  atau Pejabat Tanah dimana terletaknya harta tak alih simati. Jika simati mempunyai beberapa hakmilik tanah dibeberapa daerah atau negeri, waris boleh memilih untuk mengemukakan permohonan di salah satu daerah atau negeri mengikut kemudahan waris. Pilihan pertama permohonan dimasukkan di daerah atau negeri yang dibuat tersebut akan mempunyai bidangkuasa eksklusif untuk boleh menyelesaikan semua harta pusaka simati yang berada di pelbagai daerah atau negeri yang lain. 

Waris adalah digalakkan untuk menguruskan sendiri permohonan pusaka kecil. Walaubagaimanapun, waris masih mempunyai pilihan untuk menggunakan khidmat peguam atau Amanah Raya Berhad.

Perbicaraan

Petisyen/permohonan yang telah diproses akan melalui perbicaraan. Waris-waris simati dan pihak berkepentingan akan diberikan Notis Perbicaraan yang menyatakan tarikh, masa dan tempat perbicaraan. Pempetisyen/pemohon wajib menghadiri perbicaraan yang telah ditetapkan. Kehadiran pempetisyen/pemohon dan waris-waris perlu membawa dokumen-dokumen asal pada hari perbicaraan.

Perintah Pembahagian

Perintah yang telah diperolehi perlu didaftarkan di Pejabat-pejabat Tanah yang berkenaan (dimana hakmilik hartanah simati didaftarkan). 

Manakala bagi harta alih adalah dirujuk kepada institusi berkaitan. 

Contoh : 

  • Wang Simpanan – bank berkaitan
  • Hakmilik kenderaan – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
  • Saham ASB – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)

Prosedur Permohonan Probate & Pentadbiran (Harta Pusaka Besar)

Harta pusaka besar adalah harta peninggalan simati yang nilaian keseluruhannya melebihi RM 2juta. 

Prosedur ini juga terpakai bagi simati bukan Islam yang meninggalkan wasiat di bawah Akta Wasiat 1959 [Akta 364]. 

Pengurusan Harta Pusaka Besar adalah tertakluk dibawah Akta Probet dan Pentadbiran 1959 [Akta 97]. Permohonan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil dan hendaklah melalui lantikan peguam atau pihak yang berkepentingan seperti Amanah Raya Berhad atau Syarikat Amanah.

Permohonan bagi pengurusan harta pusaka besar terdiri daripada 2 peringkat yang diperlu disempurnakan (MANDATORI)  iaitu :

  • Permohonan mendapatkan Grant of Letter of Administration (Surat Kuasa Mentadbir); dan
  • Permohonan untuk membuat Pembahagian. 

Permohonan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir. Setelah Surat Kuasa Mentadbir simati diperolehi, Pentadbir hendaklah mendaftarkan Surat Kuasa Mentadbir tersebut di Pejabat Tanah yang berkenaan supaya semua pendaftaran hak milik simati didaftarkan atas nama Pentadbir.

Pentadbir bertanggungjawab untuk mengumpulkan kesemua maklumat harta-harta simati dan menyelesaikan liabiliti-liabiliti simati termasuklah kos belanja pengebumian dan hutang-piutang simati. Pentadbir kemudiannya bertanggungjawab memohon perintah pembahagian daripada Mahkamah Tinggi yang sama. 

Jika melibatkan simati Islam, Pentadbir hendaklah mendapatkan Sijil Faraid terlebih dahulu dari Mahkamah Tinggi Syariah. Pembahagian tersebut boleh dibuat mengikut hukum faraid atau secara muafakat. Bagi simati bukan Islam yang ada meninggalkan wasiat yang sah, pembahagian akan dibuat berdasarkan wasiat tersebut. Manakala jika tiada wasiat, pembahagian akan dibuat mengikut Akta Pembahagian 1959 [Akta 300] atau secara muafakat mengikut persetujuan waris.

Prosedur Permohonan Pusaka Ringkas

Harta pusaka ringkas adalah harta peninggalan simati yang hanya meninggalkan harta alih sahaja dengan nilaian keseluruhan tidak melebihi RM600K. 

Contoh harta alih adalah:

  • Wang Simpanan
  • Saham (Contoh : ASNB, KWSP, Tabung Haji)
  • Kenderaan
  • Insurans 

Permohonan untuk pembahagian harta pusaka ringkas hendaklah dibuat kepada Amanah Raya Berhad berdasarkan Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 [Akta 532]. Harta simati akan ditadbir oleh Amanah Raya Berhad termasuk penyelesaian hutang simati, kos belanja pengebumian dan sebagainya sebelum harta tersebut dibahagikan kepada waris-waris simati. Pembahagian akan dilaksanakan samada mengikut faraid bagi orang Islam dan Akta Pembahagian 1958 [Akta 300] bagi orang bukan Islam. Pembahagian juga boleh dibuat secara muafakat tertakluk kepada persetujuan semua waris.

Pengurusan harta pusaka ringkas yang ditadbir oleh Amanah Raya Berhad akan dikenakan bayaran mengikut fi yang ditetapkan oleh Perbadanan tersebut.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Shopping Cart